• Home
  • Media
  • Press Release
  • SIARAN AKHBAR - Persidangan & Ekspo Halal Antarabangsa Ke-6 (2015)

SIARAN AKHBAR - Persidangan & Ekspo Halal Antarabangsa Ke-6 (2015)

SIARAN AKHBAR
Oleh YB Dato' Haji Abdul Malik Kassim
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna
Pengerusi PIHH Development Sdn Bhd (Halal Penang) Khamis, 15 Januari 2015

Persidangan & Ekspo Halal Antarabangsa Ke-6 (2015)

Persidangan & Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) ke-6 berperanan sebagai acara halal tahunan yang pertama tahun 2015, berlangsung pada 30 Januari sehingga 1 Februari 2015 bertempat di Setia sPICE, Pulau Pinang.

Ruang "Main Arena" dan "Concourse" di sPICE akan dipenuhi dengan pelbagai pameran promosi dan jualan produk dan perkhidmatan Halal oleh sejumlah 307 para pemamer dari dalam dan luar negara yang telah mengesahkan penyertaan setakat ini. Jumlah ini merangkumi 168 "booth" pemamer (3m x 3m) dan 139 "booth" pemamer (2m x 2m). Pameran industri halal terdiri dari penggiat industri Halal antarabangsa di samping syarikat dan para usahawan tempatan.

Pameran Ekspo Halal akan mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan Halal termasuk makanan dan bahan gunaan. Pameran Ekspo Halal berperanan sebagai pusat sehenti (one-stop centre) dalam menemukan para pengimport dan pengeksport untuk pelbagai produk dari rantau Indonesia Malaysia Thailand -Growth Triangle (IMT-GT).

Ekspo Halal merupakan acara tahunan yang dianjurkan sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memartabatkan industri halal tempatan ke persada pasaran industri halal global. Ia berperanan sebagai sebuah platform ideal yang merapatkan hubungan perdagangan dua-hala antara negara Eropah, Asia- Barat bersertakan negara jiran Asia Tenggara, Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT). Acara PIHEC juga telah diiktiraf sebagai salah-satu acara pameran dagangan dan persidangan utama yang diiktiraf dalam senarai program /acara tahunan IMT-GT.

Ekspo Halal dilihat semakin berkembang dalam konteks penyertaan pasaran luar pemain industri tempatan serta para pelawat. Rekod bermula dengan 94 pemamer (syarikat/organisasi) pada penganjuran Ekspo Halal yang pertama (2010) bertambah ke 192 pemamer merangkumi 186 perniagaan dalam negeri dan 6 pengusaha halal antarabangsa dari Belgium, Belanda, Turki, Algeria, Sharjah (Emiriah Arab Bersatu) dan Thailand.

Ekspo Halal Ke-6 bakal menyaksikan penglibatan penyertaan pemamer oleh Halal Industry Development Corporation (HDC), SME Business Centre & Networking, Pertubuhan Usahawan Halal Muslim - Perak, Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Negeri Selangor, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Malaysia International Trade & Industry (MITI), Malaysia External Trade Agency (MATRADE), Malaysia Industrial Development Authority (MIDA), Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Lembaga LADA Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pemamer antarabangsa terdiri oleh pengusaha industri Halal dari Jepun, Thailand, Switzerland, Belgium dan United Kingdom. PIHEC Ke-6 juga bakal dihadiri oleh ahli delegasi dari Jepun, Pakistan dan United Kingdom.

Acara terbaru dan paling menarik bakal menanti anda sempena Ekspo Halal 2015 ialah Festival Kari Dunia (World Curry Festival) bakal berlangsung selama 3 hari di sPICE. Penganjuran Festival Kari Dunia yang berasal dari Bradford - "Curry Capital of UK" telah dibawa ke Pulau Pinang - "Food Capital of Malaysia" oleh YB Dato' Abdul Malik Kassim, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang (Pengerusi Halal Penang) sewaktu pertemuannya dengan Mr. Zulfi Karim, Pengasas Festival Kari Dunia (World Curry Limited) pada awal tahun lepas.

Festival Kari Dunia sempena PIHEC 2015 akan menyaksikan penglibatan para selebriti Chef terkemuka dari UK, Eropah dan Asia iaitu Chef Norman Musa berasal dari Malaysia yang kini menempah nama di UK dan Eropah, Chef Hemant Oberoi - chef diraja dari India terkenal di seluruh dunia bersama profesional terkemuka dalam industri dunia chef dan pemakanan seperti Chef Aamir Iqbal dan Chef Stephanie Moon.

Gabungan seni kulinari "kari" oleh para selebriti chef dunia bersama pengusaha kari tempatan Pulau Pinang akan diadakan di sPICE melalui acara "World Curry Theatre" dan "World Street Food" selama tiga hari. Selain itu, Majlis Makan Malam Ekslusif (Exclusive Banquet Dinner) bertemakan "Gastro Diplomacy" akan berlangsung di Eastern & Oriental (E&O) Hotel Pulau Pinang pada Jumaat, 30 Januari 2015 bakal dihadiri oleh para duta, dif-dif kehormat dan delegasi antarabangsa dan ahli - Kerajaan Negeri tertinggi. Majlis Makan Malam "Gastro Diplomacy" akan dimeriahkan dengan program eksklusif serta hidangan kulinari oleh Cef terkemuka Hermant Oberoi.

Komponen program lain berlangsung sempena Ekspo Halal 2015 di Concourse sPICE ialah Pertandingan Chef Halal (Battle of the Halal Chef Challenge). Setakat ini, acara ini telahpun merekod 400 penyertaan serta pendaftaran masih lagi dibuka. Acara ini akan disertai oleh 15 juri professional peringkat serantau dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura antaranya Stefu Santoso (Presiden Persatuan Chef Indonesia), Jamnong Nirungsun (Presiden Persatuan Chef Thailand), Abdul Kadir Razak dan Zubir Zain (selebriti chef Malaysia) serta pelbagai lagi. Acara akan merangkumi dua belas (12) kategori pertandingan masakan tempatan dan ala-barat di samping empat (4) penyampaian artistik. Pelbagai hadiah menarik menanti pemenang.

Pelbagai program perniagaan dalam industri halal akan dijalankan selama 3 hari di sPICE untuk peserta pemamer dan orang ramai. Antaranya iaitu seminar Zilzar Tech yang menawarkan platfom e-pemasaran dan e-komersil bagi sektor dalam industri halal, taklimat peluang perniagaan dan pelaburan dalam industri halal dan marin di daerah Humber di UK, insentif pelaburan oleh MARA, "Sesi Teh Tarik" oleh NCIA dan "Halal Outreach Programme for Entrepreneurs" (HOPE) merupakan program bimbingan dan insentif untuk manfaat para usahawan tempatan selain daripada demo' produk oleh pemamer dan taklimat GST yang akan berlangsung.

Acara hiburan menarik untuk orang ramai selama 3 hari iaitu penampilan Maskot Upin dan Ipin (karton animasi popular kanak-kanak), persembahan kebudayaan, penampilan dan peragaan produk fesyen oleh kumpulan artis tempatan.

Bertemakan "Halal Investment - Towards A Halal Economy", Persidangan Halal Antarabangsa 2015 akan bertempat di Eastin Hotel Pulau Pinang pada Sabtu, 31 Januari 2015. Pembentang kali ini ialah Profesor Tan Sri Dato' Seri Dr. Hj. Mohd. Ismail Merican (Pro Chancellor & Chairman, Universiti MAHSA), Mr. Rushdi Siddiqui (Co-Founder & Chief Executive Officer, Zilzar Tech Sdn Bhd), Dato' Sri Ibrahim Hj. Ahmad (Executive Chairman Brahim's Holdings Berhad) dan Dato' Redza Rafiq (Chief Executive Officer, Northern Corridor Implementation Authority/NCIA).

Persidangan akan memfokuskan peluang dan potensi dalam industri pemakanan halal, tren masa depan untuk gaya hidup Islam, sektor farmaseutikal dan pembangunan bio-ekonomi. Sasaran para peserta terdiri oleh sektor perbankan, syarikat dan pengusaha halal, ahli ekonomi, para pelabur, para pengkaji, kolej dan universiti bersertakan persatuan dagangan dan komuniti perniagaan.

-TAMAT-