• Home
  • Media
  • Press Release
  • Kenyataan Media Program Perjumpaan Bersama YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim dan Taklimat Pensijilan Halal Untuk Pengusaha Bakeri Kedai Kek

Kenyataan Media Program Perjumpaan Bersama YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim dan Taklimat Pensijilan Halal Untuk Pengusaha Bakeri Kedai Kek

Kenyataan Media
Program Perjumpaan Bersama YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim dan
Taklimat Pensijilan Halal Untuk Pengusaha Bakeri Kedai Kek
Tingkat 53 KOMTAR, Pulau Pinang
Selasa, 8 Mac 2016

Halal Penang mengorak langkah setapak ke hadapan dalam memajukan industri halal di Pulau Pinang dengan penganjuran program perjumpaan YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim bersama para pengusaha bakeri dan kedai kek yang berlangsung di KOMTAR pada hari ini. Turut menjayakan program ini ialah En. Mohamad Firhan Ghouse selaku Pengurus Besar Halal Penang, Ustaz Faizal Ibrahim yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP dan Puan Nurhanisah Othman, Pegawai Teknologi Makanan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

Program yang dihadiri oleh lebih 20 buah syarikat bakeri ini merupakan kesinambungan daripada program perjumpaan bersama syarikat-syarikat pengusaha makanan di Pulau Pinang yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan tentang pensijilan halal serta kepentingan memiliki pensijilan halal Malaysia kepada syarikat yang terlibat khususnya dan Negeri Pulau Pinang amnya.

Pertemuan sebelum ini antara YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Halal Penang bersama-sama para pengusaha makanan di Pulau Pinang telah memberi impak yang besar. Halal Penang telah membuat pertemuan bersama-sama pengusaha nasi kandar, katering dan pengusaha kafe dan hasilnya 8 buah syarikat nasi kandar yang terkenal di Pulau Pinang antaranya nasi kandar Nasmir, Subaidah, pelita dan lain-lain telah mendapat pengiktirafan sijil halal. Terkini, tiga (3) syarikat katering bumiputera pertama telah mendapat sijil halal sempena Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC 2016) baru-baru ini juga merupakan hasil pertemuan YB Dato’ bersama-sama pengusaha katering di Pulau Pinang.

Program sebegini merupakan inisiatif Halal Penang selaku agensi faslitasi halal di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpegang kepada prinsip ‘Aggressive, Conducive & Persuasive’ dalam membantu dan membimbing para usahawan untuk mengembangkan perniagaan melalui pensijilan Halal Malaysia kerana perniagaan yang mendapat pengiktirafan Halal Malaysia bukan sahaja dapat menambah keyakinan masyarakat terhadap produk dan perkhidmatan tersebut, tetapi juga berpotensi menembusi pasaran dalam dan luar Negara.

Halal Penang berhasrat untuk bertemu dengan para pengusaha semua jenis kategori perniagaan dalam Skim Pensijilan Halal Malaysia dan dalam masa terdekat Halal Penang akan mengatur pertemuan dengan para pengusaha coffee house dan kafe serta pengusaha hotel bajet dan boutique hotel.